Malaysia Berita

Malaysia jumpa Tajikistan di final Pestabola Merdeka 2023

Malaysia mara ke final Pestabola Merdeka 2023 apabila melakarkan kemenangan bergaya 4-2 ke atas India di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ia merupakan kemenangan bermakna buat Malaysia kerana walaupun berada di ranking 134 dunia, berjaya menewaskan India yang menduduki ranking 102 dunia.

Malaysia mendahului seawal minit ketujuh menerusi rembatan kapten Dion Cools di hadapan pintu gol.

Namun, India hanya mengambil masa 6 minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Mahesh Naorem apabila rembatannya gagal ditampan keluar penjaga gol skuad negara, Syihan Hazmi.

Malaysia kembali di depan menerusi sepakan penalti Arif Aiman selepas Darren Lok dikasari pada minit ke-18.

Faisal Halim melebarkan jurang kepada 3-1 selepas berjalan menembusi pertahanan lawan sebelum tamat separuh masa pertama.

India berjaya merapatkan jurang apabila kaptennya Sunnil Chettri menjaringkan gol, 6 minit selepas separuh masa kedua bermula.

India berpeluang menyamakan kedudukan 3-3 apabila berjaya menjaringkan gol namun dibatalkan oleh pengadil.

Malaysia melengkapkan kemenangan menerusi rembatan Corbin Ong hasil hantaran Faisal Halim pada minit ke-61.

India gagal merapatkan jurang dalam tempoh 30 minit baki perlawanan dan keputusan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Malaysia akan bertemu Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka 17 Oktober ini.