Pestabola Merdeka kembali hujung tahun ini, boleh jadi medan ujian Harimau Malaya sebelum ke Piala Asia

2,331

Kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia, Pestabola Merdeka bakal membuat kemunculan semula selepas sembilan tahun tidak dianjurkan.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman yang mengatakan bahawa kejohanan itu akan berlangsung pada Oktober tahun ini.


Kali terakhir ia diadakan adalah pada 2013, di mana ia disertai oleh pasukan B-23 negara.

Ini adalah satu berita baik daripada pihak FAM kerana ia mempunyai sejarah tersendiri dan pernah disertai oleh negara besar seperti Korea Selatan serta pemain ternama seperti Abedi Pele, jadi amat sayang jika kejohanan itu terkubur begitu sahaja.

Memandangkan kejohanan Piala Asia dijangka akan dilangsungkan pada hujung tahun atau awal tahun depan, ia juga boleh menjadi satu medan persediaan yang baik buat skuad Harimau Malaya sebelum ke kejohanan itu.

Berdasarkan kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), 9 hingga 17 Oktober adalah tarikh bagi perlawanan antarabangsa taraf A, jadi ia sesuai untuk diadakan pada waktu itu.

FAM haruslah cuba membawa pasukan yang boleh memberi persediaan yang baik kepada skuad kebangsaan, jika boleh pasukan yang berada di ranking 100 ke bawah.

Ia boleh menyediakan pasukan negara untuk menghadapi lawan yang jauh lebih kuat pada Piala Asia nanti.

Penganjuran perlawanan persahabatan dalam format kejohanan seperti Pestabola Merdeka juga dapat membantu persediaan mental para pemain untuk menghadapi perlawanan kompetitif pada Piala Asia.

Ini adalah satu peluang buat FAM untuk menaikkan kembali reputasi kejohanan yang mula diadakan pada 1957 itu.

Bagi penyokong pula, ia bakal mengimbas kembali beribu kenangan dan nostalgia manis kejohanan berkenaan.