Pemain pasukan Malaysia, Dion Cools diasak keras pemain India, Sunil Chhetri pada perlawanan Pesta Bola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Pestabola Merdeka 2023 selepas mudah menjinakkan pasukan India dengan keputusan 4-2 dalam perlawanan di hadapan lebih 46,000 penonton malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, skuad tuan rumah kendalian Kim Pan Gon nyaris dikejutkan skuad the Blue Tigers pada awal minit pertama apabila rembatan kencang terkena tiang gol tuan rumah.

Harimau Malaya kemudian berjaya mengejutkan India yang menduduki rangking ke-102 itu dengan membuka gol pertama pada minit ke-7 menerusi Dion Cool.

Pemain Malaysia, Arif Aiman menjaringkan gol kedua untuk harimau malaya pada perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka 2023 menentang pasukan India di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2023.

Pelawat yang langsung tidak menjangka Malaysia membolos gol awal itu bagaimanapun tidak mengambil masa lama untuk bangkit semula apabila berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke13 menerusi Mahesh Singh.

Malaysia terus mengasak gawang lawan dan melakukan beberapa percubaan tepat sebelum minit ke-20 berjaya sekali lagi membuka jaringan kedua menerusi Arif Aiman selepas dihadiahkan sepakan penalti.

Malaysia terus melangkah kanan apabila berjaya membuka gol ketiga menerusi Mohamad Faisal Halim pada minit ke-42 sebelum separuh masa pertama tamat.

Separuh masa pertama memihak kepada skuad tuan rumah dengan keputusan 3-1.

Pada separuh masa kedua, India bangkit merapatkan kedudukannya 3-2 dengan membuka gol kedua pasukannya menerusi Sunil Chhetri pada minit ke-51 perlawanan.

Skuad Harimau Malaya yang tidak langsung menjangkakan gol tersebut terus mengatur serangan untuk menambah jaringan.

Kemudian pada perlawanan minit ke-56 tercetus kontroversi di atas padang apabila pemain India mendakwa rembatan kencangnya di gawang gol skuad Harimau Malaya adalah gol walaupun pemain pertahanan berjaya menepis bola dengan menendang keluar sebelum melintas garis gawang gol.

Pengadil menolak tuntutan pemain India dan terus mengekalkan keputusan semasa 3-2.

Kemudian pada minit ke-61, Malaysia berjaya menggandakan jaringannya menerusi Corbin Ong menerusi rembatan cantik menewaskan penjaga gol lawan.

Terdahulu, Malaysia mendapat beberapa peluang tepat pada separuh masa pertama dan kedua untuk menggandakan gol di gawang lawan bagaimanapun disia-siakan pemain skuad kebangsaan.

Pada minit ke-82, Mohamad Faisal yang mengalami kecederaan telah dikeluarkan dan digantikan dengan Muhammad Safawi Rasid.

Malaysia kemudian meneruskan permainan untuk terus menambah jaringan sebelum wisel penamat mengesahkan kemenangan Malaysia menentang India pada minit ke-95.

Menerusi kemenangan itu, Malaysia akan bertemu Tajikistan yang pada 17 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. – MalaysiaGazette