Pemain Malaysia kelihatan kecewa selepas ditewaskan oleh Tajikistan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada  tempoh singkat telah menyumbang  tekanan ke atas skuad Harimau Malaya sehingga mengundang kekalahan untuk merangkul kejuaraan Piala Pestabola Merdeka 2023 kali ini.

Pengurus pasukan Kim Pan Gon berkata, pencapaian ranking itu telah menyebabkan pihaknya menerima harapan menggunung daripada para penyokong Malaysia sekali gus memberi tekanan.

“Kalau kita lihat, skuad Harimau Malaya telah memperbaiki ranking dunia FIFA dengan begitu pantas daripada 158 hingga ke 134 pada hari ini selepas merekodkan beberapa keputusan baik secara konsisten pada perlawanan peringkat antarabangsa termasuk keputusan seri menentang pasukan kuat China, yang berada pada ranking ke-80 dunia dan Syria (94) serta India (102).

“Prestasi positif setiap permainan itulah secara tidak langsung telah menambah tekanan ke atas pasukan saya rentetan harapan besar setinggi gunung dari penyokong yang mahukan kemenangan konsisten dalam setiap perlawanan.

“Itulah yang menyebabkan pasukan terpaksa beraksi dalam keadaan tertekan dan kalah kepada Tajikistan malam tadi sekali gus meranapkan impian menjulang Piala Merdeka di halaman sendiri,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut di stadium malam tadi.

Kekecewaan jelas terpancar pada wajah Pan Gon semasa sidang media itu.

Tambah beliau, sepanjang malam tadi beliau tidak dapat melelapkan mata dengan lena kerana merasai tekanan semua pihak termasuk harapan penyokong yang merasai Malaysia boleh menang dan juarai Piala Merdeka.

Namun jelasnya, adalah tidak wajar untuk penyokong marah atau mengkritik kekalahan kepada Tajikistan itu yang menduduki ranking 110 lebih baik berbanding skuad negara.

“Kalau kami beraksi dengan baik dan kalah kepada sesebuah pasukan bola sepak yang menduduki ranking rendah dari kita, misalnya 158 dunia, saya secara terbuka boleh menerima kritikan dan cemuhan itu kerana ia  relevan.

“Tetapi, bayangkan pasukan yang kami lawan  dan kalah dalam final malam tadi berkedudukan 110 terbaik dunia, kalau menang lawan India (102) pada separuh akhir Jumaat lepas tidak semestinya boleh menang konsisten ke atas Tajikistan juga.

“Tapi saya akui dapat merasai tekanan wajib menang daripada penyokong kita dan ia berpindah pula kepada skuad saya di atas padang yang memang mendominasi permainan dan tekan pasukan lawan dari awal hingga akhir 90 minit penuh itu sebelum membolos dua gol yang tidak sepatutnya khususnya gol pertama offside,” katanya lagi.

Pan Gon berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan itu sambil meminta para penyokong mengkritik beliau dan bukan menuding jari ke arah pemain pasukan.

Menurut pengurus warga Korea Selatan itu, kekalahan sebanyak dua kali kepada Tajikistan adalah tidak boleh diterima sambil mengakui dirinya harus dipersalahkan kerana bertanggungjawab dalam pemilihan kesebelasan utama, penukaran pemain gantian dan sebagainya.

Sebaliknya, beliau merayu kerjasama para penyokong tanahair agar mengenepikan kritikan dan cemuhan, sebaliknya memberi kata-kata semangat kepada skuadnya yang kelihatan berputus asa dan lemah akibat kekalahan malam tadi.

“Waktu kalah macam inilah penyokong perlu membuktikan bahawa mereka sentiasa bersama kami dan memberi kata-kata semangat untuk membantu pemain bangkit bersemangat untuk bersiap hadapi perlawanan akan datang bukannya dengan cara herdik mereka waktu kalah.

“Saya tetap bangga dengan aksi positif pemain kita yang beraksi 120 peratus dari segi taktik permainan dan mendominasi perlawanan secara ‘high pressing’ di sepanjang masa untuk cipta gol yang bawa risiko melakukan kesilapan dan itulah yang berlaku malam tadi.

“Saya optimis kita akan memperbaiki kelemahan yang berlaku malam tadi untuk beraksi lebih baik dalam perlawanan peringkat pusingan kelayakan Piala Dunia dan Asia bermula November ini, yang bakal menyaksikan pasukan lebih kuat dan ranking tinggi,” ujarnya. -MalaysiaGazette