Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan tiket menyaksikan semua perlawanan Pestabola Merdeka 2023 akan mula dijual pada hari rabu, 9 Ogos 2023.

Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman, para penyokong Harimau Malaya boleh mendapatkannya secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

FAM bagaimanapun memperkenalkan Tiket Kombo RM70 yang mana penyokong Harimau Malaya berpeluang untuk membeli tiket bagi kedua-dua Hari Perlawanan (13 dan 17 Oktober 2023) pada satu harga istimewa iaitu RM70 bagi Kategori Terbuka sahaja.

Tiket Kombo RM70 berkenaan akan dijual dalam tempoh terhad bermula 9 Ogos hingga 5 September 2023.

Seterusnya, tiket Kategori Terbuka pada harga normal serta tiket Kategori Grandstand dan Premium pula hanya akan dijual bermula 6 September 2023.

Pestabola Merdeka 2023 disertai empat pasukan dengan format secara kalah mati itu akan berlangsung pada Jumaat, 13 Oktober 2023 (dua perlawanan) dan Selasa, 17 Oktober 2023 (penentuan tempat ketiga & final) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Nama pasukan yang menyertai kejohanan tersebut akan diumumkan pada Majlis Undian Rasmi yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos ini.

FAM hanya menjemput pasukan yang berada di kedudukan ranking 100 teratas FIFA untuk menguji kekuatan pasukan kebangsaan.

Pestabola Merdeka dijadikan sebagai medan persediaan untuk skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Ia merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.